(InfoSemasa)Cuaca buruk,Operasi mencari MH370 tertangguh lagi:
Cuaca buruk yang melanda selatan Lautan Hindi memaksa operasi pencarian penerbangan MH370 yang memasuki hari ke-20 hari ini ditangguh sekali lagi.
Operasi hari ini yang bermula awal pagi melibatkan 11 pesawat dan lima kapal, terpaksa ditangguh apabila keadaan cuaca semakin merosot menjelang tengah hari.
"Semua pesawat kembali ke Perth dan kapal pula belayar meninggalkan kawasan pencarian," kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) dalam laman Twitternya.
Pagi ini, Amsa dalam satu kenyataan menyebut operasi hari ini dibahagi kepada dua kawasan dalam zon pencarian yang sama meliputi keluasan 78,000 kilometer persegi.
Pada peringkat awal, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu yang membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke kawasan daratan dan laut di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, selepas penemuan menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal.
Berdasarkan kaedah analisis yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menggunakan data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), pesawat itu dirumuskan terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
Bersandarkan maklumat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin malam mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
0 komentar:
Post a Comment