Friday 21 March 2014

Tagged Under:

(InfoSemasa)ATSB Bantu Kesan MH370

By: Unknown On: 08:18
  • Share The Gag

  • (InfoSemasa)ATSB Bantu Kesan MH370: 

    Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB) sedang meneliti imej yang diperolehi melalui cerapan satelit antarabangsa dalam usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif ATSB Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (gambar) berkata sebagai agensi di bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), ia diarahkan oleh kementerian untuk membantu misi pencarian pesawat itu menerusi imej satelit.

    Katanya, ATSB meneliti imej satelit di sekitar Laut China Selatan dan Laut Andaman yang diperoleh daripada satelit Sepanyol, Korea Selatan, Nigeria, Kanada, Emiriah Arab Bersatu dan Perancis bagi mengesan pesawat itu.

    Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas ditemubual dalam program "Ruang Bicara' BernamaTV yang dikendalikan Sherkawi Jirim semalam.

    Ahmad Sabirin berkata susulan pengesanan dua objek di selatan Lautan Hindi oleh pihak berkuasa Australia yang mungkin boleh dikaitkan dengan pencarian MH370, ATSB kini menumpukan penelitian imej di kawasan itu.

    Ditanya mengenai keupayaan sesebuah satelit mencerap imej, beliau berkata satelit bergantung kepada sensor optik dan sensor radar.

    "Sensor optik merakam imej pada waktu siang dan imejnya berwarna, tetapi boleh dihalang oleh awan.

    "Sensor radar pula boleh digunakan pada waktu siang dan malam tanpa mengira keadaan cuaca kerana kuasanya lebih tinggi," katanya.

    Ahmad Sabirin juga berpendapat peluang mencari sesuatu yang hilang adalah tinggi jika pelbagai aset angkasa, udara dan laut digabungkan dalam usaha itu.

    Pesawat MH370 yang membawa 239 orang berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-14. – Bernama

    0 komentar:

    Post a Comment