(InfoSemasa)Usaha Kesan Dua Objek Sukar-MH370(AMSA):
Laporan agensi berita Australian Association Press (AAP) itu yang memetik kerajaan Australia, turut menyatakan usaha mencari diteruskan selepas pesawat Australia dan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis gagal mengesan kedua-dua objek yang dirakam oleh satelit kira-kira 2,500 km dari barat daya Perth, awal minggu ini.
Usaha mencari objek yang mungkin ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang pada 8 Mac lepas di kawasan pencarian seluas 23,000 kilometer persegi di Lautan Hindi, mungkin mengambil masa berhari-hari kerana keadaan cuaca buruk.
Empat pesawat tentera iaitu dua daripada Tentera Udara Diraja Australia serta masing-masing satu dari New Zealand dan AS dikerah ke lokasi pada Jumaat.
Kapal dagang Norway, St Petersburg masih berada di kawasan itu dan sebuah lagi kapal dagang dijangka tiba pada Jumaat malam.
Kapal Tentera Laut Diraja Australia HMAS Success juga dalam perjalanan dan dijangka tiba pada Sabtu.
"Setakat ini tiada objek dikesan," lapor AAP yang memetik Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laporan terkini pertamanya pada Jumaat.
Pemangku Perdana Menteri Warren Truss berkata keadaan cuaca adalah buruk.
Beliau berkata usaha pencarian "sukar dan mencabar" terutama kerana objek terbabit mungkin hanyut agak jauh dari tempat asal ia dicerap oleh satelit pada 16 Mac.
Kerajaan juga mengingatkan walaupun imej satelit itu kredibel, objek mungkin tidak ada kaitan dengan pesawat tersebut.
Perdana Menteri Tony Abbott memberitahu pemberita di Papua New Guinea pada Khamis malam, penemuan itu merupakan petunjuk paling positif setakat ini dalam usaha mengesan penerbangan MH370 yang hilang bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal hampir dua minggu lepas.
"Kita tidak tahu apakah yang sebenarnya dicerap oleh satelit itu sehingga kita dapat lihat dari dekat, akan tetapi ini petunjuk paling memberangsangkan dalam satu kejadian misteri yang begitu membingungkan.
"Kita menawarkan semua sumber yang boleh untuk membantu. Kita akan melakukan apa yang terdaya untuk menyelesaikan kejadian ini," katanya. – Bernama
0 komentar:
Post a Comment